Wednesday, January 11, 2012

Islam Itu Indah

Diambil dari Fanpage Sham Kamikaze yang dikongsi Ustaz Wan Ali Akbar.




Islam, sejak daripada zaman Nabi Muhammad saw lagi, sentiasa menganjurkan kesederhanaan. Tidak boleh membuat sesuatu dengan melampau dan terburu-buru. Kerana ia sifat syaitan laknatullah 'alaih.

Begitu juga dalam bab dakwah. Seorang pendakwah, apabila melihat kepada seseorang yang membuat maksiat, kerana marahkan perbuatan tersebut, sehingga tidak bertegur sapa dengan pembuatnya. Ia membuatkan pembuat tadi, bukan sahaja tidak mendapat sebarang manafaat daripada pendakwah itu, bahkan dia akan bertindak menjauhkan diri daripada Islam.

Dalam diri manusia, ada dua jenis sifat, iaitu; sifat mahmudah dan sifat mazmumah. Ramai orang menyangka sifat mahmudah dan sifat mazmumah adalah sifat yang berbeza. Sebenarnya kedua-dua sifat tersebut sama dari sudut sifatnya. Yang membezakan antara kedua-duanya hanyalah niat.

al-Imam al-Ghazali pernah memperkatakan tentang konsep al-wastul haqiqi (Kesederhanaan yang hakiki). Konsep yang menarik untuk dibincangkan. Beliau menyebut, ada beberapa sifat, yang jika digunakan untuk kebaikan, maka jadilah ia sifat yang baik, sebaliknya, jika digunakan untuk kejahatan, maka akan buruklah sifat tersebut. Beliau memberi contoh, sifat marah. Sifat marah adalah sifat mazmumah dari segi dasarnya. Namun, ia boleh bertukar menjadi sifat mahmudah. Contohnya, dalam peperangan. Sifat marah itu boleh menjadikan diri seseorang itu berani. Berani berjihad, berani syahid, berani menegakkan yang hak dan berani menentang kebatilan. Adalah amat dilarang seseorang tentera bertindak melarikan diri daripada perang. Kerana sifat marah lah, Saidina Umar menjadi panglima yang agung dalam sejarah Islam.

Pada hari ini, kesederhanaan semakin dilupakan. Umat Islam melampau dalam banyak keadaan. Bergaduh sesama sendiri sehingga dilupakan matlamat akhir dalam Islam, iaitu penyembahan yang hakiki hanya buat Allah dan mentadbir alam dengan berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Perbalahan dan pergaduhan yang berlaku, biasanya akibat taasub kepada sesuatu pandangan. Agama ini luas. Agama ini memudahkan. Agama ini meraikan kepelbagaian pendapat, sehingga yang betul mendapat 2, yang salah mendapat 1. Tidak ada sesiapa yang rugi, asalkan berpegang kepada sesuatu pandangan dengan ilmunya, dan bukan dengan taqlid tanpa sebarang hujah.

Ayuh umat Islam sekalian.. Kita rapatkan saff. Perbezaan pendapat adalah perkara fitrah. Perbezaan pendapat mewarna-warnikan lagi dunia ijtihad. Perbezaan pendapat membuatkan umat Islam lebih berfikir. Demi mencari kebenaran. Namun, yang mutlak, hanya milik Allah swt.

Tanggungjawab kita, berpegang dengan apa yang kita yakini. Tidak perlu berbalah kepada yang furu'. Yang batil berdasarkan sumber yang qat'ie, kita perangi bersama. Dengan dakwah yang berhikmah dan tersusun. Tanpa perlu terburu-buru. Wallahu'alam.


No comments: